Categories
SELANGOR

Hujan lebat bantu reda jerebu di Lembah Klang

SHAH ALAM 30 OGOS: Hujan lebat bermula jam 7 pagi tadi menambah baik kualiti udara di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang yang mencatatkan sedikit penurunan.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan 22 kawasan di seluruh negara pada tahap sederhana dengan setakat jam 4 petang hari ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nilai merekod bacaan tertinggi dengan 97 Tanjung Malim (81),  Cheras dan Batu Muda (77), Pelabuhan Klang (76) serta Petaling Jaya (72) manakala kawasan selebihnya dengan bacaan di bawah 60.

Shah Alam merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras 88 (sederhana) pada jam 4 petang berbanding 104 (tidak sihat) pada jam 10 pagi.

Kualiti udara di Lembah Klang juga berada di bawah IPU 101 apabila kawasan Banting mencatatkan IPU 88, manakala di Putrajaya mencatatkan IPU 86.

 

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, bahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa di kawasan masing-masing.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melaporkan ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang berlaku di Manjung, Perak Tengah, Hulu Selangor, Gombak, Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Pekan, Kuantan dan Jerantut, dijangka berterusan sehingga petang ini.

Ribut petir di perairan Perak, Terengganu dan Pahang juga dijangka berterusan sehingga petang ini.

EZY