Categories
NASIONAL

Indeks Harga Pengguna meningkat 1.1% kepada 115.1%

KUALA LUMPUR 24 OGOS: Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2016 meningkat 1.1 peratus kepada 115.1 berbanding 113.9 yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini menyatakan
antara kumpulan utama merekodkan peningkatan ialah indeks minuman alkohol dan tembakau yang meningkat 19.9 peratus, makanan dan minuman bukan alkohol (+3.8 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.4 peratus).

Kumpulan lain yang mencatat peningkatan ialah pelbagai barangan dan perkhidmatan (+2.4 peratus), pendidikan (+2.2 peratus) dan restoran dan hotel (+2.1 peratus).

Bagaimanapun kumpulan pengangkutan susut 9.9 peratus berbanding Julai 2015 diikuti komunikasi (-2.3 peratus) dan pakaian dan kasut (-0.6 peratus).

Berasaskan perbandingan bulanan, IHP Julai 2016 meningkat 0.3 peratus kepada 115.1 berbanding 114.8 pada Mei.

IHP Januari hingga Julai 2016 mencatat peningkatan 2.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, diketuai oleh peningkatan dalam kumpulan utama dengan peratusan perbelanjaan tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.7 peratus).

Peningkatan lain dicatatkan oleh minuman alkohol dan tembakau (+21.6 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (+3.6 peratus), restoran dan hotel (+3.3 peratus), kesihatan (+3.1 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+3.0 peratus).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.