Categories
SELANGOR

Isu kompaun tak pamer Jalur Gemilang tak harus diperbesar

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Isu kompaun sehingga RM1,000 sekiranya tidak mempamerkan Jalur Gemilang tidak harus diperbesarkan.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Pooi Weng Keong, berkata hal itu kerana tiada cadangan diutarakan sebelum ini mahupun dibincangkan dalam Jawatankuasa Perlesenan.

Katanya, pihaknya menggalakkan bendera Jalur Gemilang digantung di premis mahupun perumahan, namun tiada paksaan hingga mahu mengambil tindakan.

“Perkara ini tidak sesuai kerana semangat cintakan negara itu perlu wujud dari hati individu sendiri.

“Jika mereka sayangkan negara, sudah tentu Jalur Gemilang didirikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MPSJ, di sini.

Sementara itu, Ahli Majlis MPSJ, Tai Cheng Heng berkata laporan akhbar berbahasa Inggeris tu tidak berasas dan tidak benar.

Katanya, cadangan itu datang dari ‘seseorang’ namun ia kekal sekadar cadangan.

“Sesiapa sahaja boleh mencadangkannya tetapi kita yang putuskan sama ada berlaku atau tidak.

“Saya berharap isu ini tidak dibesarkan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata MPSJ diminta untuk mengkaji semula cadangan itu.

Katanya, tidak seharusnya perkara itu dijadikan mandatori untuk perniagaan walaupun ia bidang kuasa MPSJ untuk memutuskannya.

“Saya mengarahkan MPSJ untuk menyemaknya. Kami mahu memupuk dan menggalakkan semangat patriotik.

“Tetapi saya menyeru kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk mendengar kepada rakyat dan peka kepada pendekatan ini,” katanya.

Sebelum ini, terdapat cadangan bermula tahun depan MPSJ mengambil tindakan kompaun sehingga RM 1,000 sekiranya premis gagal memaparkan Jalur Gemilang di premis mereka dari 15 Ogos hingga 16 September setiap tahun.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.