Categories
SELANGOR

Jalan gelap Jalan Wawasan 4/12 undang kemalangan

OLEH SYASYA SUFIAN

PUCHONG, 12 OGOS: Jalan gelap berpunca daripada kemudahan lampu yang sering rosak serta dihalang pokok di sepanjang Jalan Wawasan 4/12, di sini mengundang bahaya khususnya kepada penduduk.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han, berkata baru-baru ini berlaku kemalangan jalan raya apabila sebuah kereta melanggar lima kenderaan yang meletakkan di bahu jalan sebelah Pangsapuri D’Kiara.

“Berlaku insiden yang sama selang dua hari melibatkan empat kenderaan. Kejadian ini amat membimbangkan penduduk di kawasan ini yang sudah membuat aduan ekoran kemudahan lampu jalan tidak berfungsi,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2016-08-12 at 1.17.31 PMBeliau menggesa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat pantauan dan mengenalpasti punca masalah itu agar dapat diselesaikan dengan segera demi keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Arkitek Landskap MPSJ, Nadia Muhamad Amin, berkata punca utama jalan gelap adalah kerana pokok merimbun yang mengganggu pandangan pengguna laluan berkenaan terutama waktu malam dan menjadikan kawasan di sekitarnya agak gelap.

“Bagaimanapun, MPSJ akan laksanakan kerja membuang dahan pokok bermula minggu hadapan demi keselamatan pengguna laluan kerana kawasan tersebut adalah selekoh.

“Dijangka kerja tersebut akan selesai akhir bulan ini,” katanya.

Jurutera MPSJ, Khairul Nizam Khalid, pula berkata pihaknya akan membaiki lampu jalan yang mengalami masalah ‘timing’ pada waktu malam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.