Categories
SELANGOR

Janji RM1.8 juta BN tidak ditepati

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 OGOS: Jangan hanya pandai menuding jari, sebaliknya Kerajaan Persekutuan perlu sedar janji yang pernah mereka taburkan sebelum ini masih gagal ditepati sehingga kini.

Pada Januari 2015, Tan Sri Noh Omar selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor mengumumkan peruntukan RM1.8 juta untuk membaik pulih kerosakan pendawaian elektrik dan jeriji penghadang di Projek Perumahan Rendah (PPR) Kota Damansara.

Bagaimanapun, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata kerja itu diambil alih Kerajaan Negeri setelah janji ditabur Kerajaan Persekutuan tidak ditunaikan.

“Kerajaan Persekutuan diingatkan untuk lebih serius dalam menepati janji serta tidak memandang remeh usaha Kerajaan Negeri menguruskan PPR di Selangor.

“Selain itu, adalah wajar Kerajaan Persekutuan mengembalikan kos yang dikeluarkan Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membaik pulih PPR berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

CP2A8308-800x533Pada masa sama, Iskandar berkata, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk berbincang serta berunding dengan Kerajaan Persekutuan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak mempunyai halangan jika Kerajaan Persekutuan melalui satu SPV yang baru mahu mengambil alih PPR di Selangor.

“Kita mengalu-alukan hubungan harmoni dan profesional, namun Menteri Perumahan (Noh) mestilah bersikap seperti seorang negarawan dan bukan Ketua Cawangan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.