Categories
NASIONAL

Jawatankuasa Fatwa Kedah haramkan permainan Pokemon Go

ALOR SETAR 10 OGOS: Jawatankuasa Fatwa Kedah memutuskan permainan Pokemon Go haram untuk umat Islam kerana banyak mendatangkan kemudaratan.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang bermula 10 pagi sehingga 12.30 tengah hari hari ini di Pejabat Mufti Kedah, Anak Bukit, di Alor Setar.

Beliau berkata hasil perbincangan itu, mesyuarat merumuskan bahawa permainan Pokemon Go wajar dihalang, disekat serta dilarang kerana ia jelas mendatangkan kemudaratan kepada pemainnya.

“Perkataan halang, larang dan sekat ini sudah memberi erti haram malah lebih daripada itu …kalau haram sahaja tetapi tidak sekat orang akan main juga, jadi kita mahu lebih daripada itu.

“Jadi, kita mahu ia dihalang dan disekat oleh orang yang mempunyai kuasa terhadap perkara ini,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri juga mencadangkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah memasukkan isu permainan Pokemon Go di dalam khutbah Jumaat serta meletakkan papan tanda di kawasan masjid sebagai kawasan larangan untuk bermain Pokemon Go.

Syeikh Muhamad Baderudin berkata pemainan tersebut dilihat mampu mengancam akidah selain dibimbangi rumahibadah juga dicerobohi pemain yang ingin menangkap watak Pokemon tersebut.

“Kita bimbang permainan ini memberi impak negatif kepada kanak-kanak kerana mungkin mereka percaya bahawa watak Pokemon ini boleh membuat perkara ajaib sedangkan perkara diluar keupayaan kita hanya Allah sahaja yang berkuasa,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga perlu perlu sentiasa berwaspada dan memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dengan permainan Pokemon Go.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.