Categories
SELANGOR

Kaji inisiatif bantu penjaja kecil

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 OGOS: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembasmian Kemiskinan Dewan Negeri Selangor (DNS) mengkaji inisiatif membantu penjaja kecil yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan tunggal menyara keluarga.

ADN Taman Medan, Haniza Talha berkata, hal itu ekoran ramai di antara mereka menjalankan perniagaan di lokasi tidak sesuai juga tanpa lesen perniagaan sah.

“Kita dapati peniaga merayu supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menyita barang perniagaan mereka walaupun sebelum ini pernah disita.

“Jawatankuasa ingin tahu apa yang mendorong mereka tetap bersungguh-sungguh mengharungi cabaran itu, rupa-rupanya ini sahaja cara mereka mendapatkan pendapatan menyara keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan pendengaran tertutup bagi mendapatkan input dan pandangan program pembasmian kemiskinan berkenaan statistik atau hasil bancian ke atas kumpulan penjaja berlesen dan tidak berlesen di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

haniza talhaPada masa sama, Haniza berkata, pendengaran tertutup itu turut membincangkan beberapa syarat bantuan bagi mengelakkan peniaga warga asing mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang bakal disediakan kepada penjaja tempatan.

Katanya, ahli jawatankuasa itu juga akan bermesyuarat dalam waktu terdekat sebelum cadangan itu dibentangkan dalam sidang DNS pada masa akan datang.

“Peniaga ini mesti berada di tapak kerana terdapat peniaga asing yang bersaing dengan mereka.

“Mungkin ini adalah satu garis panduan yang akan diambil kira,” katanya.

-AA-