Categories
NASIONAL

Kes denggi meningkat, tingkat waspada elak jangkitan

SHAH ALAM 23 OGOS: Kes demam denggi di seluruh negara untuk tempoh dari 7 hingga 13 Ogos (minggu ke-32) mencatat peningkatan sebanyak 1,963 kes atau 7.9 peratus berbanding 1,819 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata enam kes kematian turut dilaporkan pada minggu lepas, empat daripadanya di Kelantan dan masing-masing satu di Pahang dan Selangor.

Beliau berkata tujuh negeri menunjukkan peningkatan kes denggi berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor dengan 117 kes, Kelantan (36), Negeri Sembilan (32), Johor (25), Melaka (21), Terengganu (tujuh) dan Kedah (lima).

“Daripada pemantauan Kementerian Kesihatan, peningkatan itu berlaku akibat perubahan serotaip denggi pada Jun lalu iaitu DEN-1 kepada DEN-3.

“Dijangkakan akan berlaku peningkatan kes dalam tempoh beberapa bulan selepas perubahan serotaip itu kerana kebanyakan masyarakat tidak imun kepada serotaip DEN-3,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya jumlah kumulatif kes demam denggi adalah 69,400 kes di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 13 Ogos ini, berbanding 75,795 kes untuk tempoh sama pada 2015.

Dr Noor Hisham berkata enam kematian dilaporkan pada minggu ke-32 menjadikan kumulatif kematian adalah sebanyak 153 berbanding 212 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, jumlah lokaliti wabak didapati menurun dari 661 kepada 635 lokaliti bagi tempoh 7 hingga 13 Ogos, manakala lokaliti ‘hotspot’ pula meningkat dari 85 pada minggu sebelumnya kepada 90 lokaliti pada minggu sama.

aedesKatanya lokaliti ‘hotspot’ itu melibatkan tujuh negeri iaitu Selangor (72), Johor (enam), Kelantan (lima), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (tiga), Perak (dua) dan masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan dan Sabah.

Dr Noor Hisham meminta orang ramai memberi keutamaan kepada menjaga kebersihan persekitaran bagi mengurangkan populasi dan tempat pembiakan nyamuk.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi serta memastikan kutipan sampah dilakukan tiga kali seminggu di kawasan pengurusan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 715 sampel diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan sehingga 13 Ogos bagi mengesan jangkitan Zika di negara ini, namun tiada jangkitan virus berkenaan dikesan.

Di samping itu, tiada pelawat yang dikesan dijangkiti virus Zika semasa saringan dilakukan di pintu masuk antarabangsa di negara ini, katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.