Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Komitmen tinggi pemain, cipta kemenangan Red Giants

OLEH HAFIZAN TAIB

KOTA BHARU, 13 OGOS: Kejayaan Selangor menghalang kebangkitan Kelantan dalam separuh masa kedua, memberi kelebihan kepada juara Piala Malaysia itu mengekalkan pendahuluan dan mencipta kemenangan.

Kemenangan besar 4 – 1 The Red Giants di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi, melengkapkan misi memungut tiga mata dan layak ke suku akhir bersama skuad Pamoga Qu Putih The Red Warriors.

“Kemenangan penting bagi kita kerana hanya mempunyai tujuh mata (sebelum perlawanan).

“Kebanyakan pemain diturunkan Kelantan walaupun simpanan tidak menjadikan pemain saya terlalu yakin kerana kita tahu pasukan itu mudah ditundukkan, walaupun mendahului 3 – 0 tetapi mereka kembali menjaringkan satu gol,” kata Pemangku Ketua Jurulatih, K Gunalan, dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Selangor mencatat kemenangan menerusi dua jaringan R Gopinathan (m23 dan m56), Abdul Hadi Yahya (m21 – penalti) dan Patrick Ronaldinho Wleh (m26) manakala Kelantan mendapat gol saguhati hasil jaringan penalti Wan Zaharulnizam (m35).

Beliau menjelaskan, Selangor juga menghadapi tekanan selepas pemain pertahanan, Mohd Bunyamin Umar dikenakan kad merah dan perlu mengekalkan rentak permainan dengan sepuluh pemain.

Katanya, komitmen tinggi dan semangat berpasukan dipamerkan pemain berada pada tahap membanggakan serta ia menyakinkan untuk terus menyekat kebangkitan pasukan lawan.

“Bukan mudah bermain dengan sepuluh pemain dan terima kasih kepada mereka kerana bekerja keras.

SEL-KEL“Kita memungut 10 mata dan layak ke suku akhir dengan selepas ini ada satu perlawanan lagi berdepan Kuala Lumpur,” katanya menganggap gol awal dan keempat dicapai adalah ‘turning point’ bagi Selangor dalam perlawanan itu.

Gunalan menjelaskan beliau kini perlu menyiapkan pasukan bagi menentang Terengganu dalam Liga Super, 16 Ogos ini biarpun berdepan jadual padat serta ramai pemain yang cedera.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Kelantan, Wan Badri Wan Omar berkata, langkah menurunkan majoriti pemain simpanan adalah bagi memberi peluang kepada mereka selain bersiap menghadapi tentangan Pulau Pinang dalam saingan liga, Selasa ini.

“Saya memuji barisan pemain diturunkan kerana menunjukkan kematangan dalam permainan.

“Dalam tempoh 30 hari, ini adalah perlawanan ke sepuluh dan akan berdepan Pulau Pinang (tidak bersaing dalam Piala Malaysia) yang berehat sepuluh hari, saya berasa mereka cukup bersedia,” katanya mengenai perancangan Kelantan merehatkan beberapa pemain utamanya dalam menghadapi perlawanan itu.

Sebelum perlawanan, skuad kendalian Velizar Popov memungut sepuluh mata dan layak ke saingan suku akhir piala berprestij itu.

Pasukan terbabit turun tanpa kelibat sebahagian pemain utama antaranya Mohd Badhri Mohd Radzi, Wan Zack Haikal Wan Noor, Brendan Gan dan Khairul Fahmi Che Mat serta tenaga import, Ashraf Nu’man dan Chanahip Songkrasin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.