Categories
SELANGOR

Kontraktor diminta wujud sistem kawalan trafik elak sesak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OGOS: Fasa 1 bagi kerja pemasangan paip terawat utama dari Lebuhraya Sungai Besi ke Kolam Air Bukit Dengkil bermula dalam tempoh terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata pemasangan paip itu sebahagian daripada kerja Projek Loji Rawatan Air Langat 2 bagi menampung bekalan air mencukupi di kawasan Lembah Klang.

Katanya, ia membabitkan sebahagian paip dipasang melalui kawasan Seri Kembangan melibatkan kawasan Perindustrian Bukit Serdang PBS 14/1, PBS 14/5, PBS 14/7 dan Jalan Kasturi yang kemudian disambungkan ke Bandar Kinrara.

“Kontraktor terlibat memulakan projek fasa 1 dalam masa terdekat membabitkan jarak hampir 3.5 kilometer.

“Paip itu dipasang dari PBS 14/1 hingga ke Jalan Kasturi di Seksyen 9 dan Seksyen 10. Pemasangan paip turut membabitkan kerja pengorekan di bahu jalan dan bawah tanah laluan jalan raya.

“Apa yang kita bimbang kemungkinan ia menjejaskan aliran trafik sepanjang Jalan PBS14/1 hingga Jalan Kasturi berikutan hanya terdapat satu laluan utama keluar masuk ke Bukit Serdang,” katanya di lawatan tapak.

Hian Wah berkata kontraktor menjalankan kerja pemasangan terbabit digesa menitikberatkan pengurusan dan pengawalan trafik ketika melaksanakan projek tersebut.

Katanya, kontraktor juga perlu mempunyai pelan sistem pengawalan trafik yang berkesan ketika kerja mula dilaksanakan kerana ketika ini, kawasan terlibat sesak serius pada waktu puncak.

“Selepas bangkitkan beberapa isu penting ini, kontraktor mengemukakan maklum balas dan pelan perlu disediakan kepada MPSJ untuk diteliti semula, saya harap pihak itu dapat mengurus dan mengawal trafik di kawasan terlibat supaya lalu lintas tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berharap kontraktor tidak menutup jalan pada waktu siang kerana kesesakan trafik sudah begitu serius.

Katanya, kontraktor juga digesa menjalankan kerja pada waktu malam seperti dijanjikan.

“Diminta MPSJ letakkan syarat seperti ini supaya pelaksanaan projek kelak tidak mengganggu trafik dan penduduk.

“Ia dijangka dimulakan awal September ini dan untuk fasa 1 kontraktor memberitahu kerja mungkin mengambil masa hampir enam bulan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.