Categories
NASIONAL

Ku Nan, Datuk Bandar KL didesak isytihar harta

SHAH ALAM, 19 OGOS: KEADILAN hari ini menggesa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Abd Aziz segera mengisytiharkan harta untuk makluman rakyat.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, berkata tindakan itu dapat membuktikan komitmen mereka kepada prinsip ketelusan dan urus tadbir baik.

Katanya, ia juga boleh menjadi contoh kepada pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL.

“Sebagai tanda komitmen kepada prinsip ketelusan dan urus tadbir baik, saya menggesa mereka untuk mengisytiharkan harta masing-masing kepada rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, setiap jabatan di bawah kementeriannya diarahkan untuk meneliti semula pengisytiharan harta pegawai bagi membendung gejala rasuah.

Mengulas perkara itu, Fahmi berkata, pihaknya menyambut baik tindakan Tengku Adnan, namun proses penelitian semula perlu dibuat dari masa ke masa.

FAHMI“Pihak seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) pernah membangkitkan keperluan mengkaji semula sistem pengisytiharan harta bukan sahaja untuk menteri, malahan pegawai kerajaan.

“Bagaimanapun, tidak pasti sama ada idea mereka diterima atau diamalkan pihak berkenaan,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai tinggi DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkenaan kes rasuah.

Individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23 Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.