Categories
SELANGOR

Kurang hantaran jauh kunci permainan Selangor tampak berbeza

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OGOS: Elemen suntikan semangat baru pemain, taktikal lebih menumpukan hantaran pendek berbanding hantaran jauh menjadi kunci menjadikan permainan Selangor tampak lebih tersusun.

Ketua Jurulatih Selangor, K.Gunalan berkata, selain itu beliau tidak banyak mengubah corak permaian yang diterapkan oleh jurulatih sebelum ini, Zainal Abidin Hassan.

“Kecederaan Ugo Ukah memberi ruang untuk saya memasukkan Subramaniam yang langsung tidak berpeluang bermain tahun ini dan dia dengan Rizal telah bermain dengan baik kerana bukan senang menjaga pemain import Pahang.

“Ini boleh dikatakan kesepaduan di dalam pasukan kita dengan semangat baru. Semoga dapat dikekalkan sehingga ke hujung musim.

“Sebelum ini pun saya sudah lama bekerja dengan Zainal. Saya tidak membuat apa-apa perubahan corak permainan tetapi kita lebih banyak bermain tumpukan kepada permainan hantaran dan tidak banyak ‘long ball’ (hantaran jauh),” katanya.

CP2A3940-1024x682Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam yang berkesudahan Selangor menang bergaya ke atas Pahang 3-0.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai corak permaian pasukan Selangor di bawah kendaliannya yang tampak sedikit berbeza dengan banyak melakukan hantaran pendek berbanding corak hantaran jauh sebelumnya.

Katanya, kemasukan semula Andik Vermansah yang mengalami kecederaan sebelum ini turut memberi suntikan semangat tambahan kepada pemain lain untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

Katanya, Andik bukan sahaja mampu mengucar-kacirkan pertahanan kubu lawan seperti biasa, malah berjaya memikul tugas sebagai ketua pasukan dengan baik pada perlawanan malam tadi.

Sementara itu, Jurulatih pasukan Pahang, Mohd Razip Ismail kecewa dengan permainan ditunjukkan oleh anak buahnya.

“Saya kecewa dengan cara kita bermain, bukan disebabkan kehebatan pasukan lawan tetapi kita banyak melakukan kesilapan. Dua, tiga gol itu pun adalah kesilapan kita sendiri yang kebanyakkannya membawa padah kepada kita.

“Kita masih cuba juga menjaringkan gol tetapi gagal. Kelemahan kita pada malam ini adalah kesilapan yang kita buat menyebabkan kita dihukum oleh lawan,” kata Razip.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.