Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Liga Super: Selangor tewas 1-0 kepada T-Team

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA TERENGGANU, 3 OGOS: Episod duka Selangor berterusan apabila tewas 1-0 kepada T-Team dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selangor gagal menemui penyudah selepas kali terakhir menang ketika menewaskan Kuala Lumpur dalam kempen Piala Malaysia.

Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang meskipun terdapat beberapa percubaan mencari gol di awal permainan.

Selangor terlebih dahulu menguji gawang T-Team menerusi rembatan luar kotak penalti Mauro Olivi pada minit ke-16, namun ditangkap mudah penjaga gol, Wan Muhammad Azraie.

Selang empat minit kemudian giliran T-Team mengasak, bagaimanapun hantaran lintang Patrick Dos Santos Cruz itu gagal mencari rakan sepasukan.

RED-GIANTS-300x214Olivi sekali lagi berpeluang meletakkan The Red Giants di hadapan, namun beliau gagal menampan bola masuk selepas melakukan larian deras sebaliknya berjaya ditangkap kemas penjaga gol T-Team.

Penantian T-Team membuka tirai jaringan akhirnga berjaya menerusi rembatan Konate Makan pada minit ke-36 selepas menerima lorongan Muhamad Zulhanizam Shafine.

Mohd Asrol Ibrahim berpeluang menambah jaringan, namun rembatannya berjaya diselamatkan Norazlan Razali.

Sejurus bersambung babak kedua, T-Team terus ghairah mengatur serangan dan Konate Makan sekali lagi hampir menggandakan jaringan.

Bagaimanapun rembatannya itu berjaya ditepis Norazlan.

Minit ke-54, Selangor menerusi Patrick Ronaldinho hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan kaki kirinya tersasar.

Mohd Asrol Ibrahim turut menguji Norazlan di gawang gol tetapi percubaan jarak jauh beliau pada minit ke-59 sekadar melewati palang.

Di minit akhir permainan Konate sekali lagi gagal menyudahkan peluang untuk menambah jaringan apabila rembatannya keluar.

Tiada sebarang jaringan dilakukan sehingga tamat permainan dan keputusan 1-0 kekal memihak kepada T-Team.

Selangor kekal di tangga ketiga dengan 26 mata selepas 16 perlawanan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.