Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Literasi Media ke seluruh daerah lindungi kanak-kanak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OGOS – Seminar Literasi Media untuk perlindungan kanak-kanak Selangor akan diperkembangkan ke seluruh daerah bagi memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya ibu bapa akan kesan langsung media dan internet terhadap golongan terbabit.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, seminar kali pertama diadakan di Malaysia itu dirangka ekoran keperluan mendesak supaya ibu bapa yang memiliki anak kecil (Genarasi Alpha) mengambil langkah proaktif terhadap perlindungan kanak-kanak daripada ancaman negatif media.

“Media dan internet mempunyai kesan yang besar terhadap kehidupan mereka. Walaupun terdapat faedah dan peluang dalam media moden tetapi ada juga cabaran juga risiko yang dihadapi mereka.

photo 1“Dalam menilai hubungan kesejahteraan kanak-kanak, kita perlu mengambil kira hubungan mereka dengan teknologi dan pengaruhnya terhadap kehidupan,” katanya selepas merasmikan seminar itu di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Daroyah berkata, ketika ini kanak-kanak lebih terdedah kepada unsur negatif antaranya keganasan, pornografi dan hiburan melampau serta membuka ruang kepada aktiviti gejala sosial.

“Sebagai ibu bapa, kita bimbang akan persekitaran yang semakin tidak selamat ini. Fasa perkembangan kanak-kanak sangat kritikal dalam memastikan kualiti insan yang dibangunkan.

“Ibu bapa perlu mengambil peranan yang proaktif dalam menangani cabaran dan isu termasuk pengurusan media dalam kalangan ahli keluarga sebagai salah satu pencegahan,” katanya.

Bekas Ketua Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan, Raymund N C pula berkata, pihak berwajib perlu memperkasakan saluransedia ada bagi memberi khidmat nasihat.

“Saluran sedia ada perlu diperkasakan contohnya khidmat kaunseling. Kita tidak boleh hanya mengharapkan tradisional permasalahan atau penderaan fizikal. Kita perlu mengambil kira eksploitasi kanak-kanak melalui media massa,” katanya.

Beliau berkata, banyak keluarga yang menderita secara diam dan masyarakat tidak boleh hanya tunggu dan lihat.

Seramai 220 peserta yang terdiri daripada kakitangan awam, ibu muda dan pengusaha taska seluruh Selangor hadir menyertai seminar itu.

Pada Jun lalu, rakyat Malaysia digemparkan dengan berita mseorang pedofilia, Richard Huckle berbangsa Britain yang mengaku melakukan serangan seksual ke atas bayi seawal usia enam bulan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.