Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Fokus kebajikan, Selangor iktiraf hak tanah Orang Asal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OGOS : Kerajaan Negeri mengiktiraf pemilikan tanah masyarakat Orang Asal di seluruh negeri sebagai sebahagian daripada hak masyarakat pribumi itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kaum itu terus menikmati taraf kependudukan seiring kepelbagaian etnik lain di negeri ini.

“Selangor satu-satunya negeri memberikan penghormatan dan pengiktirafan Orang Asal sebahagian keluarga besar rakyat Malaysia.

“Kerajaan Negeri berpendirian indentiti dan jati Orang Asal adalah sebahagian ciri kepelbagaian dan kerencaman rakyat di negeri ini.

“Keunikan dan kepelbagaian inilah menjadi aset penting untuk memajukan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berucap program Sambutan Perayaan Orang Asal Sedunia 2016, di Taman Botani Negara, di sini.

Mohamed Azmin, seiring gagasan Smart Selangor yang peduli, masyarakat Orang Asal tidak terpinggir menikmati hasil perolehan negeri, menerusi pelbagai program jangka panjang.

botani art 4Ia termasuklah insensif program kebajikan dan bantuan pendidikan kepada anak-anak Orang Asal untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi.

“Ikrar dan tekad Kerajaan Negeri bahawa kita teruskan dasar memberikan keadilan dan kesaksamaan kepada masyarakat Orang Asal di Selangor.

“Pendirian ini diambil kerana kemajuan sesebuah negara dan negeri bukan sahaja berteraskan pembangunan fizikal.

“Kita tetap mengambil pendirian bahawa pembangunan nilai, budaya dan warisan amat kaya dalam kalang masyarakat Orang Asal,” katanya.

Dalam perkembangan itu, festival keseniaan Orang Asal ini diadakan bagi mewujudkan kesedaran kepada orang awam terhadap aspek pembudayaan dan warisan Orang Asal.

Selain itu, penganjurannya bertujuan untuk memberi pendedahan tentang kepelbagaian budaya Orang Asal dari seluruh negara.

Melibatkan penyertaan kaum Orang Asal daripada seluruh dunia, Selangor menjadi tuan rumah bagi tahun kedua dengan sasaran 5,000 pengunjung.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.