Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Hijrah Selangor terus berkembang, lahir lebih ramai usahawan berjaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Program Hijrah Selangor diyakini terus berkembang dan mampu melahirkan lebih ramai kalangan usahawan berjaya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pemilihan enam syarikat peneraju swasta dalam program itu bakal memberi manfaat besar kepada usahawan yang memerlukan bimbingan dalam keusahawanan.

“Hijrah Selangor mempunyai cabaran besar mewujudkan sinergi baru di antara syarikat peneraju swasta bersama kumpulan sasar baru dengan harapan bagi pengembangan bidang keusahawanan.

“Kita percaya dengan latihan dan bimbingan diberikan, kumpulan usahawan dapat pengalaman dan diberikan bantuan modal bagi meneruskan perniagaan diceburi,” katanya.

Majlis menandatangani persefahaman bersama syarikat peneraju HIJRAH Selangor MB (ASRI) (1) (1)Beliau berkata demikian semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Hijrah Selangor Bersama Syarikat Peneraju di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman; Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi dan Amirudin Shari serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengambil insiatif melancarkan program Hijrah Selangor kerana mendapati sebahagian besar rakyat dan peniaga kecil perlu diupayakan dalam bidang perniagaan.

Katanya, program terbabit menyasarkan kumpulan sasaran antaranya ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), graduan lepasan universiti dan sebagainya untuk dibantu berjaya dalam perniagaan seterusnya keluar dari kemiskinan.

“Kita berterima kasih kepada syarikat peneraju dipilih Yayasan Hijrah Selangor bagi mendukung dasar Kerajaan Negeri.

“Sudah tentu syarikat mempunyai pengalaman luas dalam aspek perniagaan dan industri diceburi ini diyakini dapat mengembangkan lagi golongan usahawan di Selangor,” katanya.

EZY