Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Seni khat serlah keindahan Islam rahmat seluruh alam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Keindahan seni khat Islam menjadi cerminan yang membawa risalah keindahan Islam serta menampilkan wajah Islam kepada dunia sebagai Rahmatan lil Alamin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kejayaan menampilkan risalah keindahan Islam meletakkan Selangor khususnya Shah Alam dalam peta estetik dunia Islam.

Katanya ia memberikan nuansa serta warna khas kepada penghayatan Islam di nusantara yang berteraskan keadilan, kasih sayang dan toleransi.

“Cabaran kepada umat Islam hari ini adalah untuk menggembeleng kembali dan menyalurkan tenaga kepada kegiatan yang produktif, bermanfaat dan berguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama majlis pelancaran buku Institusi Seni Khat: Dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu di Auditorium Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.

Mohamed Azmin turut menyingkap kenangan ketika detik awal penubuhan Yayasan Restu semasa bertugas bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

KhatSelain itu, beliau turut mempertimbangkan memperuntukkan khusus buat Kompleks Seni Islam Antarabangsa ini dalam Belanjawan 2017.

Buku Institusi Seni Khat: Dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu ditulis Penasihat Kolej Restu, Dr Abd Rahman Hamzah mempunyai 168 muka surat dan diterbitkan YR Publications Sdn Bhd.

Buku ini membincangkan sejarah perkembangan institusi seni khat sejak awal Islam terutama dipelopori guru khat terdahulu.

Turut dikupas dalam buku ini adalah peranan pemimpin dan golongan istana dalam memartabatkan seni khat.

EZY