Categories
SELANGOR

MBPJ beli lori trak laksana program makanan percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 28 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal membeli sebuah trak makanan sebagai ‘mobile soup kitchen’ bagi kerja pemberian makanan percuma di beberapa kawasan.

Datuk Bandarnya, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata antara kawasan yang diedarkan ialah Putra Damai, Lembah Subang, Taman Medan dan Petaling Jaya Selatan.

Katanya, inisiatif itu sebagai mendukung usaha PJ City Food Bank yang dilakukan sejak 2012.

“Tahun ini, MBPJ mengorak langkah untuk memperluaskan lagi kumpulan penerima sumbangan bagi projek ini.

“Ia dilaksanakan kepada keluarga miskin tegar di seluruh Petaling Jaya dan melaksanakan program Dapur Jalanan (soup kitchen),” katanya ketika ditemui.

Azizi berkata manfaat projek PJ City Food itu bakal diperluaskan kepada golongan pelajar sekolah terutamanya sekolah di kawasan majoriti penduduk berpendapatan rendah.

Sejak perlaksanaannya, PJ City Food Bank berjaya menyumbang makanan dan minuman seberat 49.71 tan kepada 1,733 penghuni rumah kebajikan sekitar Petaling Jaya.

Sebanyak 64 organisasi menerima manfaat itu terdiri daripada rumah anak yatim, persatuan orang kurang upaya, rumah jagaan warga emas dan persatuan ibu tunggal.

Pada 23 Jun lalu, MBPJ menandatangani perjanjian kerjasama dengan Bank Rakyat untuk memberi tajaan dan sumbangan di bawah program terbabit.

MBPJ merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia melaksanakan projek seumpama itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

EZY