Categories
SELANGOR

MPAJ sedia kelulusan 16 hektar tapak perkuburan baru

SHAH ALAM, 29 OGOS : Proses ukur tanah giat dijalankan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai inisiatif menampung lokasi tanah perkuburan Islam baru, di sini.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain, berkata proses tersebut melibatkan kawasan perkuburan baru dengan keluasan sekitar 20 hektar di Ukay Perdana.

Bagaimanapun, ketetapan itu masih di peringkat permohonan sebelum mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

“Empat hektar di kawasan Ukay Perdana dijadikan tapak sekolah rendah dan menengah agama, sementara baki 16 hektar pula dijadikan tanah perkuburan Islam.

“Kerja ukur tanah kini sedang dijalankan, setelah selesai kita mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan berhubung perwartawaan tanah perkuburan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, pihaknya memaklumkan MPAJ berusaha mendapatkan tapak tambahan baru bagi menampung jumlah lot di Kampung Kemensah, Ampang.

Dalam perkembangan itu, tapak perkuburan di kampung berkenaan hanya menyediakan sekitar 2,000 lot kubur.

Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak lagi dapat menampung pertambahan lot kubur baru di sekitar Ampang Jaya.

EZY