Categories
SELANGOR

MPAJ tidak kejam, peniaga bina struktur tanpa kebenaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan bersifat kejam terhadap peniaga di Keramat dalam operasi perobohan gerai tanpa lesen, baru-baru ini.

Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata kerja meroboh dilakukan kerana peniaga terbabit menjalankan perniagaan dengan mendirikan struktur tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan rezab jalan.

Katanya, peniaga terbabit juga sudah diberikan notis pengosongan tapak sebelum ini.

“MPAJ dan Pejabat Tanah Daerah Gombak menjalankan operasi perobohan gerai tanpa lesen dan mendirikan struktur tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan (kawasan lapang) dan rezab jalan.

MPAJ“Operasi dijalankan terhadap 17 gerai yang beroperasi di atas tanah kerajaan dan rezab jalan selepas peniaga gagal memenuhi notis terbabit,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Norhayati berkata, MPAJ juga tidak akan menyediakan penempatan semula ekoran bancian menunjukkan warga asing memonopoli kawasan terbabit.

“Kita tidak memberi peluang kepada warga asing berniaga. Bancian jelas menunjukkan peniaga asing yang berniaga di kawasan itu,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat memahami situasi sebenar dan tidak memperbesarkan isu terbabit.

Sebelum ini, Pejabat Tanah Daerah Gombak mengeluarkan notis Kanun Tanah Negara KTN 425 iaitu notis 30 hari bagi tindakan meroboh yang berakhir, pada 20 Mei lalu.

Tindakan perobohan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya EKVE.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.