Categories
SELANGOR

MPK perhebat operasi bersepadu kenderaan berat

KLANG, 30 OGOS: 33 kompaun bersama Notis Pengalihan dalam tempoh 14 hari dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ke atas kenderaan berat ekoran mengganggu lalu lintas, baru-baru ini.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut mengeluarkan 16 notis peringatan, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 26 saman di empat lokasi sekitar kawasan itu.

Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, operasi terbabit dibuat berdasarkan aduan kenderaan berat diparkir dalam kawasan perumahan dan bahu jalan sehingga mencetuskan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

“Operasi ini akan diadakan lebih kerap bagi memastikan pemilik kenderaan berat mematuhi syarat ditetapkan MPK, SPAD, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM.

“Tindakan mereka (pemilik) meletak kenderaan berat di kawasan taman perumahan bukan sahaja mengganggu orang awam tetapi turut mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Pada masa sama, Adi Faizal berkata, MPK akan terus memperhebatkan tindakan penguatkuasaan ekoran kos tinggi terpaksa dikeluarkan bagi membaiki kerosakan jalan raya.

“Kos itu membabitkan pembaikan kerosakan jalan raya terutama di kawasan tumpuan pemilik kenderaan berat meletakkan kenderaan,” katanya.

-AA-