Categories
SELANGOR

MPSJ buka semula permohonan pasar malam & pagi

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuka semula permohonan pasar malam dan pagi bermula Ogos, selepas dibekukan sejak 2014.

Yang DiPertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata permohonan dibuka bagi memastikan tempat kosong ditinggalkan penjaja terdahulu diisi.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada penjaja baru yang berminat untuk berniaga di pasar.

“Pemohon boleh memuat turun borang permohonan dari laman web rasmi dan menghantar semula borang lengkap di kaunter bersepadu, ibu pejabat MPSJ.

“Dalam tempoh sama, Jabatan Perlesenan meneruskan tugas pemeriksaan, mengemaskini rekod penjaja pasar malam dan mengenal pasti petak kosong,” katanya.

Bermula 2015, MPSJ menjalankan program pemutihan bagi menyusun semula penjaja disamping menguatkuasakan peraturan untuk tujuan kawalan perniagaan.

Nor Hisham berkata, sebanyak 100 penjaja dibatalkan lesen sementara 158 lesen turut dikeluarkan kepada penjaja tanpa lesen sepanjang program pemutihan.

“Selepas permohonan baru ditutup semula pada 30 September, setiap permohonan melalui proses temuduga bagi tujuan pengisian penjaja pasar malam,” katanya.

EZY