Categories
NASIONAL

Olimpik: ‘The Pocket Rocket Man’ raih pingat gangsa

RIO DE JANEIRO 17 OGOS: Pakar keirin negara, Azizulhasni Awang melakar sejarah menjadi pelumba basikal pertama negara memenangi pingat dalam Sukan Olimpik apabila meraih gangsa di Velodrom Olimpik Rio.

Kejayaan itu harus bermakna buat pelumba berusia 28 tahun yang digelar ‘The Pocket Rocket Man’ itu selepas gagal dalam dua percubaan di Beijing 2008 dan London 2012.

Gangsa dimenangi itu adalah pingat kedua diraih kontinjen negara selepas penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoon memenangi perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama wanita.

Perlumbaan yang dua kali dibatalkan selepas pelumba memecut lebih awal sebelum motor pengiring keluar dari trek itu dimenangi Jason Kenny dari Britain.

Tempat kedua pula diraih pelumba Belanda, Matthijs Buchli.

Sementara itu Azizul mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan kejayaan beliau dan rakan sepasukan.

“Tidak kira apa jua bangsa dan agama, Melayu-Cina-India, Sabah Sarawak dan bumiputra, terima kasih atas sokongan jitu anda semua dan sentiasa mendoakan kejayaan saya. Sesungguhnya doa dari anda semua adalah senjata buat saya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ayah dan Mak saya di kampung yang sentiasa memberi sokongan penuh dan sentiasa mendoakan dalam apa jua yang saya lakukan, juga merestui pilihan jalan hidup yang dipilih ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.