Categories
SELANGOR

Pelajar terbaik KUIS anggap keberkatan faktor utama kejayaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 14 OGOS: Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang (Kepujian), Ahmad Walid Shahbudin menyifatkan keberkatan merupakan faktor penting membawa kejayaannya menggondol Anugerah DYMM Sultan Selangor.

Ahmad Walid berkata keberkatan itu diperolehi dengan sentiasa menghormati kedua-dua orang tua dan para pensyarah.

“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada keluarga yang memberi dorongan untuk saya berjaya. Pada saya keberkatan paling penting.

“Pertama, keberkatan ibu dan bapa. Alhamdullilah, walaupun bapa sudah tiada tetapi saya sentiasa hubungi emak saya dan emak pula sentiasa memberikan sokongan.

“Kedua pensyarah yang mengajar kita supaya Allah permudahkan urusan kita dan ketiga fokus dalam kelas kerana kalau rajin macam mana pun baca buku tetapi tidak fokus dalam kelas pun tak guna juga,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Dewan Konvesyen KUIS di sini, semalam.

Ahmad Walid yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Sarjana juga bersyukur apabila beliau tidak perlu menunggu lama untuk mendapat pekerjaan apabila diterima bekerja di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur sebaik tamat pengajian.

Sementara itu, graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan E-Dagang (Kepujian), Ainur Arfah Mohd Noor yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor pula terharu apabila kedua ibu bapanya mendapat layanan VIP dalam majlis konvokesyen kali ini.

“Gementar dan terharu lebih-lebih lagi apabila ibu bapa kita dapat layanan VIP hari ini. Ini sangat menyentuh perasaan kerana kejayaan saya ini adalah pengorbanan kedua ibu bapa saya.

kuis 5“Saya sebenarnya agak terkejut dianugerahkan Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor. Saya dimaklumkan pemilihan dibuat berdasarkan akademi dan aktif dalam bidang lain. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa mendoakan saya,” katanya.

Sama seperti Ahmad Walid, Ainur Arfah sudah mula bekerja di sebuah syarikat pengeluar antarabangsa yang terkenal dengan produk seperti tablet, komputer meja, komputer riba, dakwat dan toner, monitor dan pelbagai aneka aksesori komputer kira-kira dua minggu selepas tamat pengajiannya.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Nik Noor Fajarizura Nik Sinluddin yang dianugerahkan Anugerah Exco Kerajaan Selangor pula berkata rata-rata pelajar lain juga mempunyai kualiti masing-masing yang tersendiri.

“Alhamdullilah syukur pada Allah. Bagi saya ramai yang terbaik tetapi Allah pilih saya. Mungkin rezeki saya kali ini. Pemilihan saya mungkin disebabkan faktor akademi dan juga aktif dalam sukan.

“Perancangan masa depan pula, saya merancang akan sambung belajar dan mendirikan rumah tangga kalau dah sampai masanya nanti,” kata Nik Noor Fajarizura.

Nik Noor Fajarizura juga diterima bekerja di sebuah firma audit percukaian di Kuala Lumpur sebaik sahaja menamatkan pengajiannya kira-kira lapan bulan lalu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.