Categories
SELANGOR

Pelan induk pembangunan atasi kekurangan kawasan pertanian baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 OGOS: Pelan Induk Pembangunan Pertanian jangka panjang dilaksanakan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri menangani kekurangan kawasan pertanian baru.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib, berkata kaedah tersebut diwujudkan ekoran rungutan petani membabitkan beberapa faktor yang menghalang pertumbuhan hasil pertanian negeri.

“Sebagai negeri perindustrian dengan mempunyai jumlah penduduk tinggi, ia memberi cabaran sektor pertanian kerana isu tanah menjadi faktor paling utama.

“Namun dengan pelan ini, kita berharap ia merangkumi aspek penggunaan tanah optimum dan mampu menjana hasil tani tinggi melalui penggunaan teknologi dan konsep pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata dalam kenyataannya sempena penganjuran Kursus Teknologi Tanaman Fertigasi (ASAS), pada 26 Ogos lalu.

Dalam perkembangan itu, Kursus Teknologi Tanaman Fertigasi merupakan lanjutan kepada pelaksanaan Program Agrogerms 2015.

26 peserta dipilih dari kelompok pertama petani muda yang berpotensi dan mempunyai pengalaman untuk membantu meningkatkan hasil pertanian negeri.

Program berkenaan juga merupakan sebahagian daripada insiatif Kerajaan Negeri merancakkan lagi prospek pertanian negeri melibatkan golongan generasi muda.

EZY