Categories
SELANGOR

Peluang langsai kompaun MPK serendah RM15

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 OGOS: Orang ramai diajak mengambil peluang menjelaskan kompaun lalu lintas serendah RM15 sehingga 31 Ogos ini melalui kempen pengurangan kompaun Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ia membabitkan kesalahan letak kereta, halangan dan lalu lintas.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz, berkata tawaran khas bagi kompaun yang ditawarkan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan dengan orang ramai mengambil peluang melunaskan baki tertunggak mereka.

“Kempen ini juga dapat membantu pelanggan yang tidak berkesempatan menjelaskan kompaun terdahulu dan menjelaskannya mengikut tarikh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norfiza berkata, orang ramai juga boleh membuat semakan kompaun di Lobi MPK, Pejabat Cawangan Tengku Kelana dan kaunter van bergerak, manakala bayaran pula boleh dibuat di semua kaunter bayaran majlis.

“Semakan serta bayaran juga boleh dilakukan pada Sabtu dan Ahad di kaunter pasar raya terpilih, antaranya AEON Bukit Tinggi (27–28 Ogos), Giant Hypermarket Bukit Tinggi (6–7 Ogos) dan Tesco Bukit Tingg (13–14 Ogos)” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.