Categories
NASIONAL

Pertahan negara elak dijajah kuasa asing

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Generasi masa kini terutama golongan muda dinasihati supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah luar yang sentiasa berusaha mengganggu gugat kestabilan negara yang dibina hasil kemerdekaan dicapai sejak 59 tahun lalu.

Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh, rakyat seharusnya berbangga kerana negara mencipta kemajuan membanggakan dan ia seharusnya dipertahankan daripada dijajah semula kuasa asing.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, kita perlu muhasabah diri sama ada telah mencapai kemerdekaan dengan sepenuh erti atau masih dipengaruhi kuasa luar yang mungkin berhasrat untuk kembali menjajah kita.

“Adakah kita masih bergantung kepada kuasa media luar yang sedikit sebanyak mempengaruhi dan mendorong pemikiran kita supaya mengikuti rentak kemahuan mereka?,” soalnya.

CP2A1212-1024x683Sebagai generasi lama yang berkesempatan menjadi saksi saat pengisytiharan kemerdekaan negara pada 1957, beliau berkata, segala usaha dirancang pihak luar perlu dihindari dengan rakyat tidak membiarkan pemikiran dicatur pihak berkenaan.

“Mari kita bersama berikrar pada Hari Kemerdekaan negara tercinta ini supaya kita lebih gigih dan tekun untuk membawa kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan bangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 31 Ogos ini, Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 59 dan bagi Selangor, sambutan dengan tema “Selangorku: Sehati Sejiwa” diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

EZY