Categories
SELANGOR

Pertandingan pancing didik masyarakat cintai sungai

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 9 OGOS: Lebih 60 kaki pancing menyertai Pertandingan Memancing anjuran Global Environment Centre (GEC) di Sungai Sireh Agrotourism Homestay Centre, Tanjung Karang baru-baru ini.

Pengarah GEC, Faizal Parish, berkata pertandingan itu mendapat kerjasama dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Friends of Swamp Forest Utara Selangor Peat (SHGSU), HSBC Bank Malaysia Berhad, Yayasan Sime Darby dan GEF-SGP Malaysia.

“Pertandingan itu bertujuan untuk menyedarkan orang ramai dan menggalakkan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan Hutan Paya Gambut Utara Selangor ‘The North Selangor Peat Swamp Forest’ (NSPSF).

“Ia juga sebagai medium merapatkan hubungan ahli SHGSU, penduduk kampung, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan NSPSF diuruskan dengan cara yang seimbang dan mampan,” katanya dalam kenyataan.

NSPSF adalah kawasan paya gambut yang menjadi salah satu ekosistem tropika paling unik di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, perairan paya gambut tercemar dengan asid organik dikenali sebagai blackwater.

unnamed (1)Faizal berkata, walaupun berasid dan rendah oksigen tetapi ia tetap menyokong lebih 100 spesis ikan termasuk enam spesies endemik.

“Banyak spesies ikan hidup di dalam air gambut adalah unik dan merupakan sumber penting dalam perdagangan ikan akuarium. Ia juga bersempadan dengan Hutan Simpan Karang Sungai dan Hutan Simpan Raja Musa yang kaya dengan pelbagai spesies ikan dan udang.

“Pemeliharaan paya gambut dari pembangunan dan aktiviti pertanian perlu dikawal untuk mengelakkan kehilangan sumber biologi dan manfaat masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Puad Dahalan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berkata, pertandingan memancing air gambut dianjurkan sebagai landasan mewujudkan kesedaran masyarakat setempat mengenai tanggungjawab bersama dalam pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya gambut di Selangor.

“Tempat pertama membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, manakala temapt kedua bernilai RM700 dan tempat ketiga bernilai RM500,” katanya

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.