Categories
NASIONAL

Pokemon Go dapat reaksi ramai, polis & mufti

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Permainan Pokemon Go yang mula menjengah negara secara rasmi sejak 6 Ogos lalu mula menjadi bualan ramai pihak terutama penggemar watak kartun Pikachu yang pernah muncul di kaca televisyen sekitar penghujung tahun 90an.

Fenomena ini menarik perhatian beberapa Mufti di Malaysia yang menyatakan permainan itu tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri merupakan antara ilmuan agama terawal di Malaysia mengeluarkan kenyataan larangan itu hasil mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lepas.

Zulkifli berkata, pihak jawatankuasa Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar masyarakat memilih bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, serta tidak mempunyai usur khurafat.

“Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat, fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

“Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat.

“Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku – pengintipan pihak luar; pencerobohan ruang peribadi; faktor keselamatan seperti kemalangan; kelalaian dan sebagainya,” katanya lagi dalam kenyataan media.

Memetik laporan akhbar hari ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula menggesa semua negeri mengisytiharkan Pokemon Go sebagai haram memandangkan ia dibimbangi mempunyai unsur perjudian selain melalaikan masyarakat termasuk umat Islam.

WhatsApp-Image-20160807Setakat ini, kebanyakan negeri masih belum membuat keputusan sama ada permainan itu haram atau sebaliknya.

Kebanyakan netizen mula memuat naik gambar pencarian Pokemon Go di laman Facebook selain lokasi PokeStop yang terdiri daripada rumah ibadat seperti masjid dan gereja.

Selain Malaysia, Pokemon Go sudah dilancarkan secara rasmi di negara lain seperti Brunei, Laos, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Sementara itu, Polis trafik mengingatkan orang ramai tidak bermain Pokemon Go sambil memandu atau saman RM300 akan dikenakan kepada mereka yang ingkar, kerana tindakan itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kes pertama berlaku di Kuantan, Pahang ketika seorang pemuda memburu raksasa Pokemon yang tersembunyi sambil memandu semalam.

Tindakan itu dikesan seorang anggota polis trafik yang kemudiannya mengeluarkan saman RM300 atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.