Categories
SELANGOR

Program seni budaya tingkat ekonomi

OLEH SYASYA SUFIAN

SUBANG JAYA, 20 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sentiasa komited melaksanakan Program Seni Budaya MPSJ 2016 bagi meningkatkan ekonomi pelancongan di negeri itu.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata usaha berterusan itu dapat membuka peluang pemasaran lebih luas kepada karyawan dan penggiat seni memperluaskan produk dan kesenian.

“Mereka diberi peluang pemasaran mempromosikan keunikan kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Malaysia sama ada di pasaran domestik mahupun antarabangsa.

“MPSj sentiasa menyokong perkembangan perkembangan Program Seni Budaya agar ia sentiasa bersaya saing dalam industri ini dan secara tidak langsung mampu meningkatkan ekonomi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Seni Budaya MPSJ 2016 bertempat di West Boulavard, One City, Subang Jaya, di sini, hari ini.

Difahamkan, itu merupakan acara kali ketiga dianjurkan MPSJ.

Program diadakan selama dua hari pada 20 dan 21 Ogos padat dengan pengisian aturcara persembahan kebudayaan, pertandingan Koir, pertandingan dikir barat, pelbagai pameran kesenian dan jualan dan sebagainya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif One City, Tan Sri Dato’ Sri Barry Goh Ming Choon, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritenden Polis Ler Swee Meng dan barisan ahli majlis MPSJ.

Nor Hisham berkata, program itu mendapat kerjasama dari pelbagai pihak antaranya Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN) Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Tourism Selangor, Orang Asli Kaum Mah Meri Pulai Carey dan Kaum Sungai Rasau Hilir Puchong.

“Diharap program sebegini dapat diteruskan dan menjadi sebagai acara tahunan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.