Categories
SELANGOR

Projek Jalan Harapan siap hujung tahun

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Projek penyambungan Jalan Harapan di Seksyen 19, Petaling Jaya ke Lebuhraya Sprint kini hampir siap dan dijangka mula dibuka untuk kegunaaan awam hujung tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata projek bernilai hampir RM15 juta itu diperuntukkan daripada caruman infrastraktur.

“Berbeza dengan Kuala Lumpur, polisi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewajibkan pemaju bagi projek pembinaan baru memberi sumbangan bagi penaiktarafan infrastruktur.

yeo-bee-yin-kidex“Ia termasuk perhentian bas, laluan pejalan kaki dan penukaran tiang lampu kepada lampu LED untuk menjamin pembangunan lestari,” katanya dalam kenyataan.

Pada 19 Ogos lalu, Bee Yin menyertai perbincangan tapak bersama Ahli Majlis MBPJ, Jamaliah Jamaluddin dan Pengarah Kejuruteraan MBPJ, Ismail Shafie berhubung projek berkenaan.

Bee Yin berkata, projek Jalan Harapan memberi jalan alternatif terutama kepada pengguna di Seksyen 17, Seksyen 19, Seksyen 20 dan Jalan Universiti.

“Dengan adanya laluan ini, orang ramai boleh berhubung terus ke Lebuhraya Sprint tanpa dikenakan tol.

“Kami mahu memastikan segala kerja dibuat dengan teliti dan lancar untuk mengelakkan timbulnya isu kualiti kerja selepas itu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.