Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PTPTN diminta kaji kurangkan pinjaman

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diminta untuk mengkaji secara menyeluruh berhubung tindakan pengurangan kadar pinjaman untuk pelajar.

Hal itu ekoran Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang memaklumkan tabung itu tidak lagi mampu memberi pinjaman penuh kerana kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah.

Tinjauan SelangorKini bagi mendapatkan reaksi terbabit mendapati, rata-rata tidak bersetuju jika tindakan itu dilaksanakan.

Pensyarah, Jauhariatul Akmal Johar, 30, berkata tidak adil bagi pelajar baru yang terpaksa berdepan dengan pengurangan jumlah pinjaman gara-gara tindakan segelintir peminjam liat membayar semula pinjaman.

Katanya, tindakan pengurangan itu juga sedikit sebanyak mengenepikan hasrat pelajar menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Tidak dinafikan ada juga kalangan bekas pelajar sengaja tidak mahu membayar pinjaman dan ada juga membayarnya walaupun sedikit tidak mengikut perjanjian dipersetujui.

“Namun, perkara ini tidak harus dijadikan isu dan beban kepada pelajar baru. Sepatutnya pihak terbabit perlu melakukan sesuatu lebih baik bagi menjamin mereka untuk tidak terbeban dalam hal ini,” katanya.

Bagi, pelajar, Ita Liana Talha, 21, berkata pengurangan pinjaman tidak patut berlaku ketika keadaan ekonomi yang tidak stabil ketika ini.

Katanya, ia akan menyebabkan pelajar dari golongan kurang berkemampuan tidak dapat meneruskan pelajaran.

Beliau berkata PTPTN juga tidak seharusnya menyalahkan bekas pelajar yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan.

“Perlu diingatkan tidak semua bekas pelajar bernasib baik dalam mencari pekerjaan. Ada yang mendapat gaji lebih tinggi ada juga sekadar cukup makan.

“Mungkin PTPTN perlu mengkaji semula bayaran kos pentadbiran atau faedah yang dikenakan kerana jika diikutkan ia agak tinggi,” katanya.

Selain itu, Pesara, Rashid Sitra, 66, pula berpendapatan PTPTN tidak seharusnya memperjudikan nasib pelajar dalam pendidikan.

Katanya, sebagai ibu bapa, sudah tentu mengharapkan bantuan pinjaman itu untuk anak mereka belajar sekaligus membina kerjaya yang baik.

“Mungkin perlu mengkaji mekanisme lain. Tidak semestinya cara ini yang terbaik. Tentu ada jalan lain.

“Kepada peminjam, pinjaman ini adalah hutang jadi semestinya mereka perlu membayar balik. Ini memudahkan orang lain untuk menikmati manfaat ini,” katanya.

Semalam, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata majoriti rakyat menghadapi kesusahan menyambung pelajaran sehingga ada terpaksa meminjam daripada keluarga, kawan-kawan, malah lebih teruk meminjam daripada Ah Long.

Katanya, meskipun memahami kekangan kadar pembayaran balik peminjam rendah memberi implikasi, namun PTPTN perlu mengambil kira ramai graduan tidak mampu membayar balik kerana masih belum mendapat pekerjaan atau berpendapatan kecil.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.