Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Red Giants bangkit menang bergaya benam Tok Gajah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut, gergasi merah di bawah kembali bangkit dengan kemenangan bergaya selepas membenam Pahang 3-0 di laman sendiri.

Kemenangan itu diperolehi apabila tonggak import Selangor, Patrick Ronaldinho membuat jaringan hatrick buat pasukan Selangor.

Bagaimanapun, pada pertembungan peringkat saringan kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi, Pahang yang menurunkan empat pemain importnya tidak memberi laluan mudah kepada Selangor.

Sebaik wisel perlawanan ditiup, Pahang memulakan asakan bertalu-talu ke pintu gol Selangor termasuk percubaan lemah pada minit ke dua yang berjaya diselamatkan penjaga gawang Selangor, Mohd Khairulazhan.

Pada minit ke lima, pemain import Pahang, Pablo Andresvranjican memperolehi peluang terbaik tetapi sepakannya melambung di sebelah kanan pintu gol Selangor.

IMG_20160809_233038-1024x773Pada minit ke enam, Muhamad Azmi Muslim yang berjaya menembusi pertahan lawan namun hantaran lintangnya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza.

Pada minit ke 15, Pahang hampir mendahului apabila Kogileswaran Raj yang berada begitu hampri di hadapan gawang Selangor hanya mampu menyepak lemah hasil hantaran silang walaupun tidak dicabar oleh pemain Selangor.

Perlawanan terus rancak apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan sehinggalah pemain pertahanan Pahang membuat kesilapan dengan menjatuhkan Andik Vermansah di dalam kotak penalti.

Patrick Ronaldinho tidak mensia-siakan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob pada minit ke 36 dengan meletakkan Selangor mendahului 1-0.

Seolah-olah mendapat suntikan semangat baru, Selangor yang kali ini lebih banyak bermain hantaran pendek berbanding hantaran jauh seperti sebelum ini menggadakan asakan ke kubu Pahang.

Dua minit sebelum separuh masa pertama ditamatkan, Selangor memiliki dua lagi peluang yang hampir-hampir menghasilkan gol untuk bekalan tambahan di separuh masa kedua.

Bagaimanapun, Pahang bernasib baik apabil tiang menjadi penyelamat gawang mereka daripada terus dibolosi Andik yang bertindak sebagai Ketua Pasukan Selangor.

Bersambung separuh masa kedua, Pahang cuba bangkit dengan menggandakan asakan dan pada minit ke 55 hampir berjaya menyamakan kedudukan.

Namun, Pahang tersentak apabila Patrick Ronaldinho sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan jaringan keduanya pada minit ke 66.

Selangor yang menggandakan asakan hampir menambah luka pasukan Pahang pada minit ke 70 menerusi Andik, namun sepakannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.

Pada minit ke 81 Patrick Ronaldinho melengkapkan jaringan hatrick beliau selepas mendapat umpanan Adam Nor Azlin yang baru dibawa masuk.

Keputusan 3-0 yang memihak Selangor kekal hingga ke wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan bermakna malam tadi meletakkan Selangor di tangga kedua kumpulan B dengan tujuh mata di belakang pendahulu, pasukan Kelantan yang memungut 10 mata.

Kedudukan itu membolehkan Selangor terus berada dalam saingan merebut slot suku akhir Piala Malaysia.

Manakala Kuala Lumpur dan Pahang masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat dengan berkongsi tiga mata.

Keputusan penuh perlawanan Piala Malaysia

JDT II 2 (Rangel m30, Zaquan m45) Kedah 3 (Smeltz m13, Syazwan Z m31, Baddrol m56)

T-Team 3 (M Konate m14, 52, Zulhanizam m73) Sarawak 0

K Lumpur 0 Kelantan 1 (Badhri m60)

Selangor 3 (Ronaldinho m35, 66, 80) Pahang 0

FELDA Utd 2 (Forkey Doe m9, 17) Melaka Utd 1 (Nurshamil, m11)

N Sembilan 1 (Jerkovic m17) Terengganu 0

 

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.