Categories
SELANGOR

Red Giants diharap kekalkan momentum kemenangan

OLEH HAFIZAN TAIB

KOTA BHARU, 13 OGOS: Selangor diharap mampu mengekal momentum pasukan ketika ini bagi terus mencatat kemenangan dalam Liga Super dan Piala Malaysia selepas ini.

Bagi K Gunalan, prose kebangkitan serta keyakinan The Red Giants kini berada pada tahap terbaik dan ia perlu dikekalkan demi memastikan pasukan terus mempamerkan kecemerlangan dalam permainan.

“Dua kemenangan dicapai bukan mudah kerana sebelumnya kalah empat perlawanan berturut-turut,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Selangor mengalahkan Kelantan 4 – 1 dan ia adalah kejayaan kedua The Red Giants di bawah kendalian Gunalan selepas mengambilalih tugas daripada mantan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

SEL-KEL 1Tiga hari sebelumnya, Gunalan memulakan kebangkitan skuad Merah Kuning dengan menundukkan Pahang (3 -0) di Stadium Shah Alam, Shah Alam.

Ia dianggap kebangkitan tepat juara Piala Malaysia dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini selain usaha mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu.

Namun bagi Gunalan, dua kemenangan dicipta itu membuktikan kesungguhan pasukan untuk kembali mencabar dan komitmen itu perlu dikekalkan.

“Saya berterima kasih kepada pemain yang menunjukkan persembahan baik dalam permainan.

“Semangat sepasukan begini perlu dikekalkan hingga ke akhir liga,” katanya.

Dengan beberapa pemain utama masih tidak dapat disenaraikan ekoran kecederaan, Gunalan melakar beberapa strategi berbeza dalam pasukan selain menurunkan pemain import, Andik Vermanshah selaku ketua pasukan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.