Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Red Giants perlu lupakan kekalahan, fokus perlawanan seterusnya

OLEH HAFIZAN TAIB

ALOR SETAR, 7 OGOS: Zainal Abidin Hassan mengakui kekalahan Selangor kepada Kedah dalam saingan Liga Super, malam tadi, amat memeritkan dan keadaan berterusan itu sesuatu yang mengecewakan.

“Kecewa dengan keputusan, kalah lagi sekali,” kata Ketua jurulatih itu dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, di sini.

The Red Giants tewas kepada skuad Hijau Kuning 1 – 0 hasil jaringan pertahanan import, Bang Seungwhan, pada minit ke 47.

Ia kekalahan ketiga The Red Giants dalam Liga Super ekoran sebelum ini dihampakan Felda United (2 – 1), 26 Julai dan T-Team (1 – 0), 3 Ogos lalu.

Kekalahan itu menyebabkan Selangor tergugat di tempat ketiga liga kerana hanya satu mata membezakan kedua-duanya.

RED-GIANTS-660x471Beliau berkata, sedikit kesilapan dilakukan pemain memberi kelebihan kepada pasukan lawan untuk mendahului biarpun bermain dan bertahan dengan baik di sepanjang separuh masa pertama.

Katanya, kecederaan beberapa pemain utama memberi kesan kepada persembahan Selangor dan kekurangan itu ketara menyukarkan usaha pasukan mendapatkan gol penyamaan biarpunemain mencuba sebaik mungkun.

“Kita tahu tidak mempunyai pemain barisan atas yang utama dan banyak bermain ‘counter attack’ seperti mana dirancang.

“Pasukan terus berusaha mencari gol penyamaan dan terlepas beberapa peluang, ia nampak ketara kita masih belum berbisa di bahagian atas,” katanya.

Kecederaan beberapa pemain terutama Andik Vermanshah memang dirasai Selangor dan The Red Giants juga turun tanpa Hazwan Bakri serta Mauro Olivi, malam tadi.

Zainal bagaimanapun berpuas hati dengan pemain baru seperti Muhd Faizzudin Mohd Abidin dan Mohd Rizal FahmiAb Rosid yang diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu.

“Terima kasih kepada mereka pemain Piala Presiden yang diturunkan kerana bekerja keras berusaha dan ia satu pengalaman bagi mereka,” katanya.

Beliau berharap pasukan boleh melupakan kekalahan itu dan melakukan kebangkitan ketika berdepan Pahang dalam Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Baginya perlawanan itu penting untuk mencerahkan peluang Selangor melangkah ke peringkat seterusnya juga mengekalkan kejuaraan.

“Yang paling penting kita kena fokus perlawanan seterusnya (Piala Malaysia), memang tak dinafikan pemain tertekan tetapi untuk kembalikan mereka ke landasan terbaik ialah kemenangan pertama.

“Kemenangan pertama akan memberi keyakinan lebih tinggi kepada pemain dan bangkit dari kekalahan,” katanya berharap pemain yang cedera kembali sembuh bersama pasukan menghadapi perlawanan itu.

Sebelum ini, Selangor kalah kepada Pahang (1 – 0) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 30 Julai lalu dan kini di tempat kedua Kumpulan B dengan empat mata ketinggalan kepada Kelantan (tujuh mata).

“Ia amat penting untuk Selangor yang bermain di tempat sendiri bagi mengutip mata penuh,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.