Categories
SELANGOR

Sambutan Malaysiaku Merdeka, singkap derita Syria – Rohingya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SELAYANG, 31 OGOS : Sambutan ambang kemerdekaan Program Malaysiaku Merdeka di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang disambut dengan cara berbeza, bukan seperti kelazimannya.

Tanpa hiburan melalaikan, program padat dengan aspek keagamaan dan pengisian ilmu bermanfaat kepada lebih 500 hadirin.

Pengisiannya turut tertumpu kepada ceramah agama dan slot motivasi dan kenegaraan menyingkap kesengsaraan dialami masyarakat Islam Rohingya dan Syria, serta tayangan video kekejaman musuh membedil penempatan mereka.

Program anjuran Pusat Khidmat DUN Taman Templer, dengan kerjasama Muslim Care, Jabatan Amal Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu menampilkan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

DSC_0264 kecil (1)Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPS, Juhari Ahmad, Ahli-Ahli Majlis, Nazir-Nazir Masjid, Ketua Kampung dan masyarakat awam.

Penampilan istimewa, selebriti Heliza Helmi, Ijam Medicine, Soutul Amal, Imam Fadil Sheikh Abdul Karim dan Ustaz Abu Hassan Al-Hafiz, turut sama hadir memeriahkan program malam tadi.

Dalam perkembangan itu, Ustaz Abu Hassan Al-Hafiz turut memimpin bacaan tahlil dan solat hajat memohon kesejahteraan dan keamanan Malaysia.

Sebelumnya, beliau turut menyampaikan tazkirah tauladan dan kisah tokoh ilmuwan Islam serta perjuangan para sahabat dalam memperjuangkan agama.

Dalam pada itu, masyarakat Ronghiya dari kanak-kanak tahfiz Ronghiya Subang diketuai Ustaz Reazul Haq Mufit Abdul turut dibawa, merasai sambutan nikmat kemerdekaan di bumi Malaysia.

EZY