Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor – New Zealand perkukuh hubungan dagang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, H.E Dr Johan Subritzky bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala.

Katanya, dalam pertemuan berlangsung sejam itu, kedua-dua pihak saling bertukar pandangan mengenai peluang pelaburan di Selangor.

“Seperti mana-mana negara sekalipun dan pelabur asing, sebelum meletakkan pelaburan mereka dalam mana-mana negara dan negeri mereka ingin melihat pertama kestabilan politik.

“Dengan slogan pentadbiran kesederhanaan dan kestabilan, terbukti Selangor dapat menjamin keharmonian kaum dan agama yang menjadi prasyarat untuk mereka meletakkan pelaburan besar.

“Lihat sahaja syarikat gergasi Toyota melabur RM2 bilion di Klang baru-baru ini. Mereka tidak akan melabur jika Selangor tidak aman dan harmoni. Begitu juga UMW dan Air Bus yang beroperasi di Selangor,” katanya.

SELANGOR-NEW ZEALANDBeliau berkata demikian kepada SelangorKini di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut memberi jaminan Selangor mampu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi, berpendidikan dan bakat bagi memenuhi permintaan para pelabur New Zealand.

“Dengan keyakinan ini, saya percaya New Zealand bersedia melihat Selangor sebagai destinasi pelaburan yang dapat dipertahankan walaupun dalam keadaan Malaysia sedang berada dalam situasi kegawatan tetapi Selangor masih mengekalkan persekitaran yang kondusif bagi tujuan pelaburan,” katanya lagi.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.