Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Smart Selangor berbaloi untuk rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 22 OGOS: Walaupun perbelanjaan tinggi bakal dilaburkan untuk merealisasikan gagasan Smart Selangor, namun ia dianggap berbaloi ekoran kemampuannya memberikan faedah maksimum kepada kerajaan dan rakyat negeri termaju itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata idea cetusan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu perlu dilaksanakan segera bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan lebih tinggi.

“Secara prinsipnya, sebarang perubahan atau gagasan sebesar ini sudah tentu memerlukan peruntukan bukan sahaja besar tetapi memberi faedah kepada semua golongan.

“Pada saya, tidak salah asalkan perbelanjaan dibuat mampu mengubah Selangor sebagai pemain utama di peringkat Asia Tenggara dan pendahulu kepada negeri lain di Malaysia.

“Contohnya, kalau kita perlukan pulangan besar yang berbaloi, kita kena bersedia mengeluarkan perbelanjaan besar untuk iklan berkualiti jika mampu memberi manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Smart Selangor Retreat di Avani Sepang Goldcoast Resort, di sini pada 19 dan 20 Ogos lalu.

Ng Suee Lim 1ADN Sekinchan, Ng Sue Lim, pula berkata selain berfaedah kepada rakyat, perkhidmatan wakil rakyat kepada masyarakat setempat juga lebih berkesan kerana tidak lagi mengambil masa lama untuk melayani sesuatu isu.

“Saya setuju perbelanjaan itu digunakan tetapi perlu dirancang secara berhemah.

“Selain itu, masa ADN juga dapat dijimatkan apabila orang ramai boleh membuat aduan secara terus melalui aplikasi disediakan seperti iClean Selangor yang terus disalurkan kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata Selangor perlu menyiapkan diri menghadapi masa hadapan yang beroriantasikan penyelesaian pintar atau ‘smart solution’.

Katanya, melewatkan pelaksanaan gagasan itu bakal merugikan Selangor apabila melepaskan peluang untuk menyalurkan pelbagai manfaat yang sepatutnya dinikmati kerajaan juga rakyat.

“Perbelanjaan menjayakan Smart Selangor memang berbaloi kerana inilah masa hadapan.

“Kita juga memperolehi peluang berbanding negeri lain. Kalau kita tangguhkan, sudah pasti perbelanjaan ini akan meningkat mengikut peredaran masa,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.