Categories
SELANGOR

Street Dakwah, motivasi ‘jalanan’ golongan muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 OGOS : Inisiatif memastikan generasi muda terus berada di landasan terbaik dipergiat menerusi penganjuran program Street Dakwah di Laman Seni 7, di sini.

Festival yang mengangkat pengisian positif mencangkupi slot motivasi dan perbincangan antara pendakwah dan golongan muda diadakan 3 September ini, bermula jam 2.00 petang hingga 7.00 petang.

Menariknya, pendakwah jemputan, Ustaz Halim Hafiz, peserta program keagamaan, Dai’ Hilman dan Da’i Fuad bakal menyampaikan sesi dakwah kepada orang awam, di sekitar ‘jalanan’ Laman Seni 7.

Persembahan pemuzik Huffaz dan Priakustik juga bakal memeriahkan program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam dan Selangor Youth Community (SAY), dinaungi DYMM, Raja Muda Tengku Amir Shah.

Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian penganjuran Festival Laman Seni yang diadakan sepanjang tahun.

Sebarang pertanyaan, orang awam boleh terus menghubungi Facebook Kota Seni Shah Alam untuk perkembangan program menarik Festival Laman Seni 2016.

EZY