Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sulaman Tekad Gubah Bunga Tanjung cipta rekod terpanjang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sulaman Tekat Gubah Bunga Tanjung Terpanjang di Malaysia mendapat pengiktirafan ‘The Malaysia Book of Records’ sebagai ‘The Longest Handmade Embroidery’.

Sulaman berukiran 9m x 0.91m itu membabitkan 31 penyulam bermula pada 21 Mei hingga 27 Ogos.

Exco Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi membuat potongan terakhir benang di majlis perasmian itu.

Dr Yunus berkata sulaman tekat itu dipilih oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi catatan rekod berdasarkan penggunaannya yang meluas pada pakaian busana dan hiasan keluarga diraja sejak awal Kesultanan Selangor hingga kini.

“Malahan semasa pemerintahan Kesultanan Almarhum Sultan Ala’eddin Suleiman Shah (1898-1938), baginda sendiri menggalakan aktiviti menyulam dan seni kraf di usahakan dikalangan kerabat diraja dan rakyat.

“Hasil sulaman ini mengetengahkan motif bunga tanjung sembilan kelopak yang merupakan bunga rasmi bagi Selangor,” katanya di Majlis Perasmiannya, di Pusat Beli Belah Aeon, di sini.

IMG_20160827_153206_647Beliau berkata warisan itu wajar diketengahkan bagi menyedarkan masyarakat tentang keistimewaan dan dipelihara.

“Ia sejajar dengan peranan PADAT seperti mana termaktub dalamEnakmen 4 PADAT 2009 iaitu untuk melindungi dan membekalkan kemudahan berhubung dengan aspek adat Melayu dan Warisan negeri dan Ekshibit,” katanya.

Beliau berkata program itu mampu menggilap bakat, meningkatkan kemahiran dan melahirkan generasi muda yang cintakan seni kraf warisan, mempromosi dan memasarkan seni sulaman dari individu mahupun kumpulan.

“Susulan daripada catatan rekod ini, PADAT sedang dalam usaha mendaftarkan motif itu bagi reka bentuk perindustrian di Perbadanan Harta Intelek Malaysia supaya ia dapat diaplikasikan pada lain-lain produk kraftangan di Selangor selain fabrik dan tekstil,” katanya.

Bunga Tanjung merupakan salah satu ragam hias Utama dalam seni bina Istana Bandar di Kampung Bandar, Kuala Langat pada 1905.

Ia turut dihasilkan dalam bentuk ukiran kayu di bahagian dinding dan pintu utama muzium Sultan Alam Shah.

Sembilan kelopak yang terdapat pada motif bunga Tanjung itu mencerminkan sembilan daerah terdapat di Selangor.

Selain daripada pameran sulaman tekat gubah, pelbagai aktiviti lain turut diadakan antaranya jualan kraf, demonstrasi tekat dan persembahan kebudayaan.

Sulaman tekat itu merupakan sejarah kedua bagi PADAT selepas rekod pertama tahun lalu iaitu Temasya Seni Cempuling Selangor:25 jam tanpa henti.

EZY