Categories
SELANGOR

Sumbangan sektor perkhidmatan meningkat 111.5%

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sumbangan sektor perkhidmatan kepada ekonomi Selangor pada 2015 meningkat sebanyak 111.5 peratus berbanding 2009.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata sektor perkhidmatan menyumbang RM67.8 juta kepada ekonomi Selangor.

Katanya, jumlah itu meningkat kepada RM143.3 juta pada 2015.

“Merujuk Laporan Ekonomi Negeri Selangor 2014/2015 oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, sebanyak 59.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor disumbang sektor perkhidmatan.

“Ini menunjukkan sumbangan besar sektor perkhidmatan termasuk industri pelancongan kepada Selangor pada 2015,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berhubung sektor pelancongan.

Elizabeth berkata, sektor perkhidmatan dinilai menerusi perkhidmatan utiliti, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perdagangan borong dan runcit serta penginapan dan restoran.

“Jenis aktiviti ini menunjukkan perkhidmatan di dalam ekonomi industri pelancongan yang berkait rapat memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negeri,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.