Categories
NASIONAL

Tangguh Akta MKN, perhalusi saranan Majlis Raja-Raja

SHAH ALAM 2 OGOS: Kerajaan Persekutuan digesa menangguhkan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuatkuasa hari ini dan menyemak semula saranan Majlis Raja-Raja supaya ia diperhalusi.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam kenyataan bersama berkata pelaksanaan akta itu hanya membawa Malaysia menuju ‘negara polis’ dan bersifat kuku besi.

Katanya akta itu juga dipercayai merampas kuasa darurat Yang di-Pertuan Agong menggambarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat terdesak.

Ia memberikan kuasa penuh kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan “kawasan keselamatan” iaitu perintah berkurung kepada sesebuah kawasan tanpa perlu mendapatkan perkenan Agong.

“Akta MKN ini mencabul struktur asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan jelas melangkaui hak istimewa dan kuasa eksekutif Raja-raja Melayu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, MKN juga menjadikan Perdana Menteri berkuasa penuh terhadap badan-badan kerajaan termasuk semua kementerian dan agensi termasuk pasukan tentera dan polis.

Akibat pemusatan kuasa Perdana Menteri ke atas ketenteraan, kawalan dan kawasan darurat, Akta MKN menimbulkan keraguan dalam pemisahan kuasa badan-badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Ia mampu menyebabkan wujudnya perlanggaran hak sewenang-wenangnya termasuklah penangkapan tanpa waran, penggeledahan, penyitaan dan sebagainya.

“Kebebasan rakyat untuk mendapatkan hak sivil mereka hanya terletak atas belas ihsan seorang Perdana Menteri – Najib Razak.

“Beliau boleh dengan sesuka-hati mengisytiharkan sebarang kawasan sebagai “kawasan keselamatan” untuk tempoh enam bulan dan juga berkuasa untuk melanjutkan masanya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.