Categories
NASIONAL

Tangkapan SPRM dialukan, DBKL mesti beri penjelasan

SHAH ALAM, 17 OGOS: KEADILAN mengalu-alukan tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga pegawai kanan kerajaan, termasuk seorang Pengarah Eksekutif DBKL bergelar “Dato’ Seri”.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata tangkapan itu menjadi permulaan dan penanda aras baik bagi SPRM yang diketuai Ketua Pesuruhjaya baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad.

“Bagaimanapun, saya mahu tangkapan terbabit tidak berhenti separuh jalan dan SPRM turut memberi perhatian kepada beberapa isu atau kes seperti dibangkit Department of Justice (DoJ) Amerika Syarikat yang mendakwa berlakunya pengubahan wang haram dan pencurian wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Memandangkan Dzulkifli pernah bertugas sebagai Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara, beliau mempunyai pengalaman serta kedudukan yang unik dalam isu kes dakwaan terhadap 1MDB ini.

“Terutamanya apabila pihak DoJ mengumumkan bahawa tujuan mereka merampas aset dan harta berjumlah RM4 bilion – yang didakwa dicuri oleh Jho Low dan Riza Aziz – adalah untuk memulangkannya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi turut mempersoalkan kesediaan Dzulkifli dan SPRM untuk membantu dalam usaha mengembalikan aset dan harta bernilai RM4 bilion ini kepada rakyat Malaysia.

1MDB-1024x731Katanya, sewajarnya SPRM mengambil apa-apa tindakan terhadap individu-disebut dalam kertas pendakwaan DoJ.

“Dan adakah SPRM akan membantu dalam usaha mengenalpasti individu diberi gelaran “Malaysian Official 1″ yang didakwa menerima wang USD731 juta dari 1MDB ke dalam akaun peribadi beliau?,” soalnya.

Pada masa sama, beliau berkata DBKL dan Datuk Bandar perlu memberi penjelasan berhubung pengbabitan seorang pegawai kanan DBKL.

“Bagaimana seorang pegawai DBKL boleh terlibat dalam aktiviti dipercayai bersifat rasuah dan pengubahan wang haram, hingga dapat memiliki kereta mewah dan aset bernilai tinggi lain?

“Adakah ini satu insiden sahaja, atau adakah lebih ramai dalam organisasi DBKL yang mungkin terlibat dalam aktiviti-aktiviti serupa?,” soalnya.

Katanya, ekoran isu itu, Datuk Bandar dan DBKL perlu lebih telus dan bersikap terbuka.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.