Categories
NASIONAL

Taufan Nida 100km sejam badai Hong Kong, 150 penerbangan batal

HONG KONG 2 OGOS: Ratusan penerbangan dibatalkan manakala urusan di hab kewangan Hong Kong ditutup ekoran Taufan Nida membadai kepulauan itu, dengan angin kencang dan hujan lebat manakala kawasan rendah diarah bersiap sedia menghadapi banjir.

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan taufan besar pertama Hong Kong tahun ini membawa bersama angin kencang 100 kilometer sejam selepas mendarat di wilayah Guangdong di China dan memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran kuning menandakan hujan lebat pada jam 5.20 pagi waktu tempatan.

Lebih 150 penerbangan dibatalkan, kata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang, dengan syarikat Cathay Pacific dan Dragonair memberi amaran tiada satu pun pesawat akan beroperasi sehingga jam 2.00 petang.

Ratusan penumpang terkandas di lapangan terbang dan 290 penerbangan ditangguhkan.

Taufan Nida bergerak perlahan ke kawasan pedalaman Guangdong dan angin berhampiran pusatnya menunjukkan tanda lemah, menurut Balai Cerap Hong Kong.

Jalan raya lengang dan kedai ditutup sehingga petang Isnin apabila isyarat lapan taufan itu dinaikkan, mendorong orang ramai balik kerja lebih awal. Di seberang sempadan, wilayah Guangdong menyaksikan pejabat, kilang dan sekolah ditutup ketika ia berhadapan Nida.

Bulan lalu, Taufan Nepartak memaksa sekurang-kurangnya 420,000 penduduk China meninggalkan rumah dan menyebabkan kerugian lebih 7.1 bilion yuan (RM4.46 bilion) di wilayah Fujian sahaja.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.