Categories
SELANGOR

Tidak berbangkit isu pengezonan Paya Indah Wetlands

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 OGOS: Tiada sebarang pengezonan kegunaan tanah Lot 4827 dan Lot 3974 milik Paya Indah Wetlands dilakukan sehingga kini, kata Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Beliau berkata, tanah berkeluasan 450.76 ekar itu diwartakan Jabatan Perhilitan Pusat sebagai Rizab Tanah Paya di bawah Kanun Tanah Negara sejak 1998.

Katanya, satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutan dan Kerajaan Negeri berkenaan pengurusan dan pentadbiran pemuliharaan Paya Indah Wetlands turut ditandatangani pada 1 Ogos 2007.

“Sejak MoU ditandatangani, tidak ada sebarang permohonan menukar kegunaan tanah Lot 4827 dan Lot 3974.

“Lot selain daripada dua lot yang disebut ini bukan Paya Indah Wetlands dan merupakan milikan persendirian,” katanya dalam sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

 

PAYA-INDAHElizabeth berkata, Paya Indah Wetlands juga tidak tersenarai dalam Konvensyen Ramsyar.

“Kerajaan Negeri amat prihatin menjaga status Paya Indah Wetlands kerana mempunyai daya tarikan eco-tourism yang kuat,” katanya.

Semakan Selangor Kini di www.ramsar.org mendapati enam kawasan tersenarai di dalam Konvensyen Ramsar, namun tiada satu pun terletak di Selangor.

Kawasan berkenaan adalah Tasek Bera di Pahang, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor, Kuching Wetland (Sarawak) dan Lower Kinabatangan-Segama Wetland (Sabah).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.