Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Usaha Hijrah Selangor perkasakan usahawan dipuji syarikat peneraju

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Usaha Yayasan Hijrah Selangor membabitkan syarikat swasta bagi membimbing usahawan di Selangor wajar bagi meningkatkan ekonomi dan kemajuan dalam perniagaan.

Pengurus Chommel Arreca Enterprise, Abd Malik Savai, berkata pembabitan dalam program Hijrah Selangor memberi ruang syarikatnya berkongsi ilmu dan pengalaman bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

“Kita bersedia dari awal bagi sama-sama membantu ke arah itu.

“Terima kasih kepada yayasan kerana membuka ruang ini dan memang menjadi hasrat syarikat untuk membimbing golongan usahawan seterusnya menghijrahkan mereka ke tahap lebih baik,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Chommel Arreca Enterprise adalah satu daripada enam syarikat turut serta dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Hijrah Selangor Bersama Syarikat Peneraju di sini, hari ini.

Syarikat lain, Tisas Academy Sdn Bhd, All Malaysian Creation Sdn Bhd, Bakeri Ria Academy, ANQR Flash Stamp Agency dan Red One Network Sdn Bhd.

Majlis menandatangani persefahaman bersama syarikat peneraju HIJRAH Selangor MB (ASRI) (4) (1)Perjanjian persefahaman itu ditandatangani Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Dr Mansor Othman bersama semua syarikat itu disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Urusan All Malaysian Creation Sdn Bhd, Norridah Bahrum, berkata usaha melahirkan usahawan berjaya dilaksanakan yayasan adalah baik dan wajar disokong dengan pembabitan bersama syarikat selaku mentor dalam program berkenaan.

“Dengan membantu orang ramai dalam program ini, syarikat mendapat peluang bagi menggerakkannya supaya lebih berjaya dan mencapai objektif disasarkan juga meningkatkan pendapatan warga Selangor,” katanya.

Begitu juga Pengurus ANQR Flash Stamp Agency, Ahmad Zamanhuri yang berpandangan masyarakat harus memajukan diri dalam bidang perniagaan kerana pencapaian ekonomi yang baik meningkatkan taraf kehidupan seseorang itu.

“Kita berusaha membantu seramai mungkin mereka yang terbabit dalam program Hijrah untuk berjaya.

“Dengan kerjasama semua, saya yakin kita mampu membentuk lebih ramai usahawan di Selangor,” katanya.

EZY