OLEH ERMIZI MUHAMAD
SABAK BERNAM, 2 SEPT: Seramai 441 penduduk Sabak Bernam menerima insentif Kerajaan Negeri menerusi pelbagai program bantuan jangka panjang di Dataran Niaga Bagan Terap, Sungai Besar, hari ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan itu diberikan ekoran peningkatan kos sara hidup rakyat masa kini yang mendorong ia diteruskan ke seluruh negeri.
“Untuk meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan rakyat majmuk dan berbilang kaum, pelbagai program bantuan dirangka dan diterjemahkan kepada rakyat.
“Pelaksanaan program bantuan ini memberi impak sosial kepada rakyat khususnya di kawasan pinggir bandar,” katanya.
Penyerahan bantuan khas meliputi serahan Plak Dana Usahawan MIKRO (12 orang), Pinjaman Hijrah Selangor (105 orang), Bantuan Nelayan Sungai (44 orang) juga Insentif Pertanian Peserta MYGAP (155 orang).
Selain itu, Mohamed Azmin turut menyampaikan bantuan sumbangan Skim Mesra Usia Emas (37 orang) dan Skim Bantuan Asuhan Rakyat Si Kembar (5 orang).
Pada masa sama, Skim Bantuan Tadika Selangor membabitkan 45 tadika di daerah Sabak Bernam turut menerima manfaat daripada Kerajaan Negeri, di samping serahan Penyampaian Hadiah Pengajian IPT kepada 31 penerima.
-AA-