OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 5 SEPT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor mengucapkan tahniah di atas pernikahan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama pasangannya, Norashikin Abdul Rahman, pada 31 Ogos lalu.
Yang Dipertuanya, Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim, berkata ABIM Selangor berkongsi rasa gembira bersama rakyat negeri itu dan mendoakan kebahagiaan sentiasa mengiringi kehidupan baginda sekeluarga.
“Kehidupan berumahtangga adalah sesuatu yang harmoni pada kaca mata Islam.
“Ia bukan sekadar memenuhi fitrah manusiawi pasangan berkenaan, bahkan setiap tanggungjawab kekeluargaan dilaksanakan adalah dikira ibadah,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, sebagai ketua keluarga adalah wajar kita saling ingat mengingati pesanan Allah SWT seperti surah At-Tahrim: ayat 6 antara lain mengingatkan hambaNya memelihara diri dan keluarga daripada hukuman api neraka.
“ABIM Selangor mendoakan kebahagiaan DYMM Sultan Selangor, mudah-mudahan perkahwinan ini terus diberkati dan berkekalan hingga ke syurga,” katanya.
-NFN-