Categories
SUKANKINI

Andik mahu bawa Selangor ke pentas akhir Piala Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pemain import Selangor, Andik Vermansyah memasang impian untuk mengetuai The Red Giants ke pentas akhir TM Piala Malaysia musim ini.

Selaku ketua pasukan beliau berkata, Selangor perlu mengatasi Terengganu T-Team yang menanti di separuh akhir dan menyifatkan ia bukan perlawanan mudah.

“Bertemu T-Team bukan satu perkara yang mudah.

“Menjadi kapten juga bukan mudah, tanggungjawab saya besar kepada Selangor,” katanya.

Andik menjadi pemain utama yang menggerakkan jentera serangan Selangor apabila hantarannya berjaya disudahkan rakan sepasukan, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Bagi penjaring tunggal Selangor, Muhammad Nazmi Faiz berkata beliau gembira dapat membantu Selangor mara ke separuh akhir.

14359231_1191695424236280_8210806351005259650_n“Alhamdulillah untuk gol hari ini (semalam). Saya baru kembali pulih daripada kecederaan dalam sebulan.

“Satu gol sudah cukup dan menjaringkan hatrick bukan menjadi misi. Ini juga pertolongan daripada kawan-kawan,” katanya.

Beliau berkata Selangor kini kembali dengan peningkatan persembahan tambahan mereka bakal berdepan T-Team selepas ini.

“T-Team bukan pasukan mudah kerana mereka mempunyai pemain yang bagus.

“Kita pernah kalah dalam liga sudah pastinya akan cuba memberikan saingan sengit kerana mahukan kemenangan,” katanya.

Jaringan tunggal Muhammad Nazmi Faiz pada minit ke-55 semalam sudah cukup untuk meranapkan impian Selangor PKNS FC untuk mara dengan perbezaan agreget 5-3.

Selangor bakal bertemu Terengganu T-Team di peringkat separuh akhir dalam misi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34.

Sementara satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Kedah bakal bertemu PDRM bagi menempah slot ke perlawanan akhir hujung Oktober ini.

EZY