OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 1 SEPT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menggunakan khidmat pihak berkecuali menjalankan kerja pengauditan dan pemantauan pembinaan jalan di negeri itu.
Pengarahnya, Mas Abdul Rahman Mas Mohamed berkata, inisiatif itu diwujudkan ke arah keberkesanan dan kualiti spesifikasi kerja ditetapkan pihaknya.
“Selain kami sendiri turun padang menjalankan rondaan setiap minggu, JKR Selangor juga menggunakan khidmat audit daripada pihak berkecuali.
“Pelantikan berkecuali ini diwujudkan secara berterusan bagi memantau kerja pembinaan jalan dibuat pihak kontraktor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Kira-kita Wang Awam berhubung Laporan Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 di Bangunan Annex, SUK di sini, hari ini.
Konsisten ke arah gerak kerja positif demi kesejahteraan rakyat, JKR juga merancang untuk mewujudkan pasukan khas bagi menjalankan kerja pemantauan berterusan di lapangan.
Abdul Rahman berkata, fokusnya memastikan bahan pembinaan jalan dan penyelenggaran mencapai spesifikasi kerja di bawah ketetapan JKR Selangor.
Pada masa sama, JKR Selangor bertangungjawab melaksana kerja pembinaan dan penyelenggaraan jajaran jalan di sepanjang 4,041,165 KM jalan seluruh negeri.
-AA-